"BERSAMA CIKGU"

SELAMAT DATANG KE BLOG PERKONGSIAN ILMU TANPA SEMPADAN

12 Desember 2009

TEORI PEMBELAJARAN KONTRUKTIVISME

Teori Pembelajaran Konstruktivism dalam Rekabentuk dan Pembinaan Perisian Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer ( PPBK)

1. PENGENALAN

Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) merupakan salah satu cara untuk mengintegrasikan teknologi dalam pendidikan yang berpotensi untuk mengoptimakan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Teori pembelajaran pula menjelaskan bagaimana seseorang belajar. Pendekatan teori-teori pengajaran dan pembelajaran memainkan peranan penting dalam menentukan keberkesanan sesuatu pengajaran dan pembelajaran dalam bidang pendidikan. Gagne (1985) mendefinisikan tujuan teori dalam pembinaan perisian adalah untuk mewujudkan satu perhubungan yang seimbang antara tatacara arahan dengan kesan ke atas proses pembelajaran dan jangkaan pembelajaran yang dapat dihasilkan melalui proses-proses tersebut. Aplikasi teknologi multimedia yang berpandukan teori-teori pembelajaran yang relevan dalam pembinaan perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer (PPBK) memainkan peranan yang penting dalam membekalkan beberapa program pengajaran yang sesuai dalam usaha untuk merealisasikan potensi pelajar dengan sepenuhnya. Di sini perancangan yang sistematik dan teratur dalam rekabentuk dan pembinaan perisian PPBK yang berlandaskan pendekatan teori-teori pembelajaran perlu dilaksanakan terlebih dahulu agar perisian yang dihasilkan menyumbang kepada keberkesanan pembelajaran dan berkualiti.

Soal perancangan kini menjadi semakin kritikal memandangkan matlamat pendidikan negara ini amat mementingkan pembinaan potensi insan dalam semua aspek iaitu rohani, kognitif, afektif dan fizikal dalam bentuk yang menyeluruh dan bersepadu Berdasarkan Perspektif Bersepadu Sejagat, matlamat asas pendidikan di sekolah adalah untuk memanusiakan manusia dan memperadabkan manusia ( Nik Aziz Nik Pa, 1997).
Pembinaan konsep pengajaran dan pembelajaran yang mantap serta seiring dengan matlamat negara akan menjadi landasan kepada rekabentuk perisian PPBK. Pendekatan teori pengajaran dan pembelajaran, strategi dan pengkaedahan yang diamalkan dalam rekabentuk perisian PPBK hendaklah bersesuaian dengan kepelbagaian gaya pembelajaran pelajar, di samping itu juga mengambilkira kecerdasan kepelbagaian dan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis serta penerapan nilai-nilai murni.

Terdapat pelbagai jenis teori pembelajaran dalam bidang pedagogi yang boleh diaplikasikan dalam rekabentuk dan pembinaan perisian PPBK. Teori-teori pembelajaran mempengaruhi pembentukkan model-model rekabentuk pengajaran yang digunakan sebagai panduan dalam pembinaan perisian PPBK. Aplikasi teori ini perlulah relevan dengan keperluan dan kesesuaian penggunaannya. Teori pembelajaran konstruktivism merupakan salah satu daripada teori tersebut yang akan menjadi tumpuan perbincangan dalam kertas kerja ini berkaitan dengan rekabentuk dan pembinaan perisian PPBK.


2. TEORI PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVISM

2.1 Apakah Konstruktivism?

Konstruktivism bukan merupakan satu teori yang baru dalam bidang pendidikan. Pengaruh konstruktivism dalam era teknologi maklumat dan komunikasi ini semakin kuat. Teori ini bertitik tolak daripada pandangan behaviorism yang mengkaji perubahan tingkahlaku sehingga kepada kognitivism yang mengkaji tentang cara manusia belajar dan memperoleh pengetahuan yang menekankan perwakilan mental.

Bruner (1960), telah menekankan bahawa pembelajaran merupakan satu proses di mana pelajar membina idea baru atau konsep berasaskan kepada pengetahuan semasa mereka. Pelajar memilih dan mengintepretasikan maklumat, membina hipotesis dan membuat keputusan yang melibatkan pemikiran mental (struktur kognitif seperti skema dan model mental) memberikan makna dan pembentukan pengalaman dan membolehkan individu “melangkau melebihi maklumat yang diberikan” (Beyond the information given). Hasil daripada pendekatan ini, beliau telah memperkenalkan pembelajaran penemuan (Discovery Learning).


Briner (1999) berpendapat murid membina pengetahuan mereka dengan menguji idea dan pendekatan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada, mengaplikasikannya kepada situasi baru dan mengintegrasikan pengetahuan baru yang diperoleh dengan binaan intelektual yang sedia wujud.

Brooks & Brooks (1993) menyatakan bahawa murid membina makna tentang dunia dengan mensintesis pengalaman baru kepada apa yang mereka telah fahami sebelum ini. Mereka membentuk peraturan melalui refleksi tentang interaksi mereka dengan objek dan idea. Apabila mereka bertemu dengan objek, idea atau perkaitan yang tidak bermakna kepada mereka, maka mereka akan sama ada mengintepretasikan apa yang mereka lihat supaya secocok dengan peraturan yang mereka telah bentuk atau mereka akan menyesuaikan peraturan mereka agar dapat menerangkan maklumat baru ini dengan lebih baik. Menurut Mc Brien dan Brandt (1997), konstruktivism adalah satu pendekatan pengajaran berdasarkan kepada penyelidikan tentang bagaimana manusia belajar. Kebanyakan penyelidik berpendapat setiap individu membina pengetahuan dan bukannya hanya menerima pengetahuan daripada orang lain.

Pengetahuan dibina secara aktif oleh individu yang berfikir berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Dalam proses ini, pelajar akan menyesuaikan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru dalam mindanya (PPK, 2001:9). Secara ringkasnya, teori pembelajaran konstruktrivism adalah satu fahaman bahawa pengetahuan, idea atau konsep yang baru dibina secara aktif berdasarkan kepada pengalaman lepas dan pengetahuan sedia ada dengan maklumat, idea atau konsep yang diterima sama ada bantuan kendiri, interaksi sosial atau persekitaran diselaraskan melalui proses metakognitif . Rajah 1 menunjukkan gambaran pengertian konstruktivism secara ringkasnya.
Rajah 2 menunjukkan sebuah peta minda tentang pengertian konstruktivism secara kesluruhannya iaitu dari segi implikasinya ke atas pengajaran dan pembelajaran , prinsip-prinsip dan peranan guru dan pelajar .




Maklumat
Pengetahuan
Idea
Konsep
Kemahiran
Maklumat



Pengetahuan sedia ada/ pengalaman lepas

Persekitaran/ sosial/ individu

Proses metakognitif



Pengetahuan baru

Idea baru

Konsep baru


Secara aktif

Diubahsuai/ diselaraskan

RAJAH 1 : GAMBARAN PENGERTIAN KONSTRUKTIVISME


















Pembelajaran satu proses yang aktif
Motivasi-kunci pembelajaran
Menggalakkan penemuan inkuiri
Menggalakkan perasaan ingin tahu
Menggalakkan inisiatif
Menerima autonomi pelajar
Lebih bertumpu kepada pembelajaran
Pelajar berwawasan
Pelajar bermatlamat

Refleksi dan kematangan
Berkaitan dengan kehidupan
Berkaitan dengan prejudis
Berkaitan dengan kebimbangan
fokuskan
masa
Aktiviti sosial
konstektual
Penggunaan teknologi
Bertanggungjawab-pembelajaran kendiri
Double lesson
“Learn along the way”
Set limit
Pembimbing
Berfikiran terbuka
Penyokong kognitif
Akses pelajar individu
Fasilitator
PERANAN GURU

PERANAN PELAJAR

Pemikiran kritikal
“reasoning”
Penyelesaian masalah
“retrieval”, pemahaman dan penggunaan
Fleksibiliti kognitif
refleksi
Agihan Kepakaran
CIRI-CIRI PEMBELAJARAN

BERPUSATKAN PELAJAR

PRINSIP-PRINSIP KESELURUHAN



GURU & PELAJAR

Pengalaman-peranan kritikal dalam pembelajaran

Pengalaman kepercayaan lepas, pengetahuan lepas, sikap sedia ada

“Cognitive pre-disposition” manusia

Pilih dan ubah maklumat
Konstruk hipotesis
Membuat pilihan

Pembelajaran kooperatif
Pembelajaran melibatkan bahasa
Pembelajaran melibatkan situasi
Pembelajaran melibatkan realiti dunia
Pembelajaran melibatkan dialog

Pemahaman dan prestasi

Organisasi kerja sendiri
Trait yang diingini- ingin tahu, inisiatif dan “persistent”

Membelajari maklumat baru
Cara belajar yang baru

Perisian –alat mencapai gol pembelajaran
Pengaksesan Internet- perkongsian maklumat,
Simulasi, modelling dll –sokong kajian

Rancang dan urus

Kaunseling dan arah tuju

Buat cadangan,
Memperkenalkan,
Cabaran kreativiti
Galakkan berdikari


Kemungkinan, Kekuatan, Keperluan & perasaan.

GOL PENGAJARAN


RAJAH 2: PETA MINDA KONSTRUKTIVISM
Sumber: Ubahsuai dari http://uib.no/People/sinia/CSCL/HMM_Constructivism.htm




2.2 Prinsip-prinsip pembelajaran konstruktivism

Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (1991), salah satu implikasi utama yang pendekatan konstruktivism yang paling utama ialah pengajaran dan pembelajaran adalah berpusatkan pelajar. Pengetahuan yang dipunyai oleh pelajar adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh pelajar tersebut dan bukan pengajaran yang diterima secara pasif. Ia menekankan tindakan dan pemikiran pelajar dan bukan guru.

Berdasarkan Rajah 2, prinsip-prinsip pembelajaran utama yang berpusatkan pelajar mempunyai ciri-ciri iaitu pembelajaran merupakan satu proses yang aktif. Di sini guru perlu menerima autonomi pelajar. . Ia lebih menekankan pembelajaran daripada pengajaran. Pelajar diberi peluang untuk memilih gol, strategi dan penilaian pelajarannya.

Yang kedua ialah motivasi merupakan kunci kepada pembelajaran di mana ia menggalakkan penemuan inkuiri, perasaan ingin tahu dan inisiatif pelajar. Di samping itu pengalaman dari segi kepercayaan, sikap sedia ada dan pengetahuan sedia ada memainkan peranan yang kritikal dalam pembelajaran.

Oleh sebab manusia mempunyai kecenderungan kognitif (cognitive predisposition) maklumat akan dipilih dan diubahsuai. Pelajar mengkonstruk pengetahuan melalui penglibatan aktiviti projek / kajian.( contoh; menguji hipotesis) dan membuat pilihan. Di sini, pengajaran perlu direkabentuk untuk memudahcarakan ekstrapolasi dan memenuhi ruang (“going beyond the information given”).

Dalam teori konstruktivism, pembelajaran adalah berbentuk kontekstual. Ia berkaitan dengan dunia kehidupan seseorang dan berhubung dengan prejudis dan kebimbingannya. Pembelajaran juga ialah satu aktiviti sosial di mana ia menyokong pembelajaran koperatif dan melibatkan penggunaan bahasa. Ia melibatkan pelajar dengan situasi dunia sebenar. Pembelajaran sebagai aktiviti sosial ini juga menggalakkan dialog dan perbincangan sesama pelajar atau antara guru dan pelajar. Satu lagi prinsip pembelajaran ialah ia mengambil masa. Di sini pelajar perlu diberikan masa yang mencukupi untuk menyelesaikan tugasan yang diberi. Ia menekankan pemikiran refleksi dan proses kematangan.
Pembelajaran konstruktivism amat memokus kepada pemahaman pelajar dan prestasinya. Mengikut Alessi & Trollip (2001), ia mempunyai asas dalam kognitif bersituasi dan perkaitan dengan pengajaran bertumpu.

2.3 Pendekatan pembelajaran secara konstruktivism

Pendekatan pembelajaran secara konstruktivism dapat dibahagikan kepada lima format iaitu :
a. Penglibatan : Simulasi perasaan ingin tahu pelajar melalui pemberian suatu tugasan, topik atau konsep, memupuk minat dan membangkitkan persoalan.
b. Penjelajahan : Adalah bertujuan untuk memuaskan perasaan ingin tahu melalui penggunaan pendekatan inkuiri untuk menjelajah dan menyiasat, melalui eksperimen, menggalakkan pelajar untuk bekerjasama dan menyoal.
c. Penerangan: Pendekatan yang melibatkan definisi konsep dan penyataan. Pertanyaan tentang penerangan orang lain dan membuat pertimbangan dan penjelasan.
d. Penghuraian: Memperdalamkan lagi konsep ke dalam sudut kandungan yang lain. Pelajar akan menghubungkaitkan dan melihat perhubungan sesuatu konsep atau topik dalam sudut kandungan yang lain dan membuat perkiatan dengan konsep/ topik ke dalam situasi dunianya.
e. Penilaian: Menilai pemahaman pelajar melalui demontrasi pemahaman dan kemahiran atau konsep pengetahuan. Mengakses pengetahuan pelajar dan kemahiran dan konsep. Mengemukakan soalan terbuka (contoh: Apa yang sedang anda fikirkan?)
(Pusat Perkembangan Kurikulum, 1997: 45)
Untuk mencapai gol pengajaran , beberapa pendekatan pengajaran secara konstruktivism seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 2 iaitu mewujudkan aktiviti sebab-musabab (reasoning), melibatkan pemikiran yang kritikal dan KBKK dan aktiviti penyelesaian masalah. Pelajar juga perlu berupaya mendapatkan kembali maklumat, memahami dan menggunakan maklumat. Pengajaran juga perlu menekankan kepada fleksibiliti kognitif, pemikiran refleksi dan pengagihan kepakaran di kalangan pelajar dengan pelajar , pelajar dengan guru atau pelajar dengan pihak pakar.
.

2.3 Peranan guru dan pelajar dalam pembelajaran konstruktivism

2.3.1 Peranan Guru

Seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 2, guru memainkan peranan sebagai fasilitator yang akan merancang dan menekankan aktiviti yang berpusatkan pelajar. Guru merupakan pembimbing yang akan membantu pelajar menyedari kerelevanan kurikulum kepada kehidupan mereka. Guru akan mengenalpasti pengetahuan sedia ada pelajar dan merancang kaedah pengajarannya dengan sifat asas pengetahuan tersebut. Guru juga merupakan pereka bentuk bahan pengajaran yang menyediakan peluang kepada murid untuk membina pengetahuan baru. Guru sentiasa berfikiran terbuka yang sentiasa menggalakkan pelajar menerangkan idea mereka serta menghargai pandangan mereka.
Sebagai penyokong kognitif, guru akan menstruktur pelajaran untuk mencabar persepsi murid, menggalakkan mereka membuat tugasan yang berbentuk penyelesaian, menganalisis, meramal, meneroka dan membuat hipotesis. Pelajar juga perlu digalakkan menerangkan lebih lanjut jawapan mereka. Selain itu pelajar juga digalakkan membuat penemuan melalui pertanyaan soalan bercapah dan bersoal jawab antara satu sama lain. Masa yang secukupnya perlu diberikan agar pelajar dapat membuat perkaitan antara idea-idea yang telah dijanakan. Akhirnya guru perlu tahu cara melaksanakan pembelajaran koperatif dalam menjalankan tugasan dan membimbing pelajar untuk mendapatkan jawapan yang tepat.

2.3.2 Peranan Pelajar

Perubahan ke atas peranan pelajar dalam pembelajaran secara konstruktivism melibatkan sikap bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka sendiri dan boleh menyelesaikan masalah. Pelajar juga perlu mempunyai inisiatif mengemukakan soalan-soalan dan isu dan membuat analisis dan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Perbincangan juga penting dalam membantu pelajar mengubah atau mengukuhkan idea-idea mereka, mengemukakan pendapat dan mendengar idea orang lain dan membina asas pengetahuan yang mereka faham.

Selain itu pelajar perlu mencabar hipotesis yang telah dibuat dan digalakkan untuk membuat ramalan. Pelajar juga perlu mempunyai kemahiran maklumat dan kemahiran penggunaan teknologi dimana mereka dapat menggunakan data dan bahan-bahan fizikal, manipulatif atau interaktif (misalnya akses kepada Internet) bagi menolong mereka menjana idea dan pengetahuan baru.

2.4 Kelebihan Pembelajaran Secara Konstruktivism

Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (1991), pembelajaran secara konstruktivism menggalakkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Ia menggalakkan pelajar berfikir untuk menyelesaikan masalah, menjana idea dan membuat keputusan yang bijak dalam menghadapi pelbagai kemungkinan dan cabaran, misalnya dalam aktiviti penyelidikan dan penyiasatan dan pengujian hipotesis.

Selain itu ia membolehkan kefahaman yang lebih jelas tentang sesuatu konsep dan idea di mana pelajar terlibat secara langsung dalam pembinaan pengetahuan baru dan mengaplikasikannya dalam kehidupan atau situasi baru.

Hasil daripada proses pemahaman konsep, pelajar dapat membina ingatan jangka panjang tentang sesuatu konsep melalui penglibatan yang aktif dalam mengaitkan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan yang baru.
Keyakinan pelajar dapat dipupuk hasil daripada pembelajaran ini dan membolehkan pelajar berani mengahadapi dan menyelesaikan masalah dalam situasi baru.
Di samping itu pelajar juga dapat meningkatkan kemahiran sosialnya iaitu dapat bekerjasama dengan orang lain dalam menghadapi sebarang cabaran dan masalah. Kemahiran sosial ini dapat diperolehi apabila murid berinteraksi dengan rakan-rakan dan guru dalam membina pengetahuan mereka.

Akhirnya, hasil daripada pembelajaran secara konstruktivism di mana pelajar membina pengetahuan, konsep dan idea baru secara aktif, pelajar akan meningkatkan kefahamannya, berasa lebih yakin dan lebih seronok untuk terus belajar sepanjang hayat walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan kemungkinan.


3 implikasi Teori Pembelajaran Konstruktivisme dalam pembinaan dan rekabentuk perisian PPBK

PPBK merupakan atucara komputer untuk menyampaikan isi pengajaran sesuatu mata pelajaran kepada pelajar (Alessi dan Trollip, 1991). Ia ialah aturcara komputer yang menggunakan teknik-teknik kepintaran buatan manusia untuk membantu seseorang belajar ( Jamaluddin. 1989).

Perisian PPBK memerlukan penglibatan pelajar secara aktif mengaplikasikan pengetahuan dalam membina realiti diri sendiri . PPBK tradisional menekankan kepada pendekatan yang sistematik berdasarkan kepada satu set prinsip rekabentuk pengajaran. (Bolye, 1997:67). Tetapi kini konstruktivisme menjadi amat berpengaruh dalam teknologi moden misalnya dalam rekabentuk multimedia interaktif ( IMLE). Pendekatan lama yang lebih berbentuk objektivis tidak lagi sesuai kerana dalam psikologi moden, pembelajaran dilihat sebagai satu proses yang dinamik di mana manusia akan membina pengetahuan baru dalam dunia realitinya. Peranan pengajaran bukan untuk mewujudkan pengetahuan berstruktur tetapi untuk membentuk proses pembelajaran yang konstruktif yang lebih berpusatkan pelajar.

Papert (1980), anak buah Piaget telah menggunakan idea teori konstruktivsim dalam merekabentuk persekitaran pembelajaran berasaskan penggunaan komputer untuk menyokong pembelajaran misalnya program Logo yang bukan hanya membolehkan kanak-kanak mempelajari kemahiran bahasa tetapi untuk membantu mereka dalam perkembangan kognitif. Papert melihatkan Logo sebagai suatu alat yang menolong kanak-kanak menyelesaikan masalah. Dalam proses ini, pelajar akan memperolehi “powerful ideas” bagi menyelesaikan masalah amnya. Pandangan pembelajaran konstruktivis dan perkembangan kognitif memberikan tema yang penting dalam memahami persekitaran pembelajaran dalam rekabentuk perisian multimedia PPBK. Pelajar dianggap sebagai konstruktur yang aktif ke atas pengetahuan dunia yang diperolehi ( Boyle, 1997: 11). Papert telah memperkembangkan idea lain yang lebih relevan dengan rekabentuk IMLE yang lebih moden. “Microworlds” dibina dengan Logo membolehkan seseorang kanak-kanak membelajari secara aktif tentang konsep yang abstrak (Boyle, 1997:12). Konsep micorworlds ini berpotensi mewujudkan teknik yang berkesan bagi membina persekitaran pembelajaran secara interaktif dan berasaskan kepada psikologi konstruktivism.

Beberapa pendekatan konstruktivism yang menggunakan komputer sebagai alat untuk membantu pembelajaran misalnya pemprosesan kata dan hamparan elektronik. Program yang dibina untuk meningkatkan pembelajaran dan penyelesaian masalah dikenali sebagai “mindtools” misalnya alat pemetaan berkonsep (concept mapping tools)yang merupakan paparan berbentuk grafik tentang pengetahuan konseptual (Boyle, 1997:26) . Di sini format visual dan aplikasi model mental perlu ditekankan. Menurut Jonassen dan Marra (1994), tujuan pemetaan adalah menjadikan pembelajaran lebih efektif. Kafai (1996) berpendapat pelajar yang merekabentuk dan mengimplementasikan perisian sendiri tentang sesuatu topik membolehkan mereka memahami sesuatu konsep dengan lebih mendalam.

Berdasarkan prinsip pembelajaran konstruktivism juga, PPBK memungkinkan pembelajaran secara “hands-on” dan “minds-on”. Selain daripada pensel, buku latihan dan teks, komputer membolehkan pelajar bertukar-tukar maklumat serta-merta seperti melalui Internet, e-mail dan tutoran sama ada di antara individu dan bilik darjah secara jauh dan dekat. Ia membolehkan pelajar mengakses pangkala data, perkhidmatan maklumat talian terus dan sumber multimedia. Selain itu media lain seperti bahan “hands-on” seperti modul, buku , majalan , jurnal dan terbitan lain akan mengkomplimenkan perlaksanaan PPBK

Dalam tradisi objektivis, pendekatan strategi pengajaran dan bahan serta penilaian keberkesanan program pendidikan. Pembelajaran lebih berupa proses transmisi dan pemerolehan stuktur pengetahuan yang dipengaruhi oleh pendekatan behaviorism dan kognitivism. Konstruktivism memperkenalkan satu epistemologi yang mempunyai perbezaan yang radikal di mana pembelajaran lebih diutamakan daripada pengajaran (Boyle, 1997:71)

PPBK yang menggalakan pembelajaran kolaboratif dan pembelajaran koperatif memainkan peranan dalam menyokong komunikasi dam pembelajaran berkumpulan. Lin(1996) menerangkan suatu alat digunakan untuk mennstruktur dan menyokong perbincangan berkumpulan melalui elektronik , misalnya melalui video konferencing atau “E-bincang” di Universiti Kebangsaan Malaysia. Guzdial et al (1996) menyatakan komputer sebagai alat untuk menyokong idea “brainstroming” dan perancangan. Dalam pembelajaran penemuan, pelajar menjalankan penemuan dengan membentuk perkaitan mental, sedangkan guru berperanan sebagi pengantara, fasilitator atau pemudah cara pembelajaran sahaja. Dalam perlaksanaan PPBK, pengajar perlu menyediakan peluang kepada pelajar untuk melibatkan diri secara aktif di dalam proses pembelajaran mereka seperti menggunakan aktivit berbentuk projek atau kajian kes yang melibatkan penggunaan komputer.


4 APLIKASI TEORI PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVISME DALAM REKABENTUK DAN PEMBINAAN PERISIAN PPBK

Rekabentuk perisian PPBK dari segi pandangan konstruktivism perlu mengambil kira aspek multimedia interaktif. Bahan direkabentuk supaya pelajar dapat membina pengetahuan sendiri dan bukan berpusatkan pengajar. Ia menekankan pemikiran aras tinggi . Rekabentuk bahan hipermedia dapat memberi bimbingan kepada pelajar tentang hala tuju pembelajaran dan poin rujukan kedudukan mereka Bimbingan tidak semestinya diperolehi dari sistem perisian tetapi peranan komunikasi antara pelajar dan pengajar dan sosial pelajar sendiri.

Dalam pembelajaran penemuan rekabentuk antaramuka perisian PPBK penting dalam membantu pelajar membina pengetahuan yang ingin diperolehi, misalnya penyediaan peta atau glosari dan pernyataan yang jelas tentang tujuan program. Rekabentuk antaramuka perlu menggalakkan penglibatan pelajar secara aktif.

Pembelajaran koperatif dan kolaboratif menekankan gerakkerja berkumpulan dalam menyelesaiakan masalah. Perkins (1991) menyatakan bahawa pembelajaran koperatif mengilustrasikan agihan kecerdasan iaitu setiap individu dapat bertukar-tukar idea dan pendapat serta kemahiran / pakar ke aras pencapaian gol yang diingini. Ia merupakan persekitaran yang ideal bagi pelajar mempelajajari cara berkongsi tanggungjawab dan berkerjasama ke arah gol yang sama dan kemahiran yang diperolehi didapati amat berguna dalam pelbagai “setting” di luar persekitaran sekolah (Roblyer & Edwards, 2000:68). Pendekatan ini amat penting disisipkan semasa perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran menggunakan PPBK.

Kaedah penilaian tulen ( Authentic Assessment) merupakan strategi penilaian lebih berbentuk kualitatif dibantingkan dengan jenis penilaian kuantitatif. Dalam perlaksanaan P&P PPBK, pelajar boleh dinilai melalui penyediaan portfolio bertulis atau portfolio elektronik yang merangkumi hasil kerja yang mereka telah buat (Bateson, 1994:; Yong,1995 dalam Roblyer & Edwards, 2000: 68)

Dick (1997) , menyatakan bahawa konstruktivism hanya mencadangankan kaedah dalam mana persekitaran pembelajaran yang pelbagai boleh disusunatur dan diurus supaya dapat membekalkan pelajar dengan konteks terbaik untuk pelajar. Duffy dan Jonassen (1991) telah mempertikaikan tentang hubungakait antara teori pembelajaran dengan pendekatan pengajaran.

Cunningham et al (1993) telah memperkenalkan tujuh prinsip dalam merekabentuk persekitaran pembelajaran yang pelbagai dalam konstruktivism . Ia amat berguna sebagai rangka kerja bagi memperkenalkan rekebentuk persekitaran pembelajaran.

4.2.1 Pembelajaran Tulen
Konstruktivis bertumpu kepada pembelajaran melalui konteks penyelesaian masalah yang relevan dengan dunia realiti. Pelajar perlu memperolehi pengetahuan dan kemahiran yang relevan dengan penyelesaian masalah ( Jonassen et al. 1993 dalam Bolye, 1997:71) . Video digunakan untuk mewujudkan situasi kes berasaskan masalah tentang “ realiti hidup” Pendekatan ini memastikan aktiviti penyelesaian masalah adalah diselitkan dalam pembelajaran

4.2.2 Konteks Sosial
Interaksi sosial dilihat sebagai asas sumber bahan bagi pembentukan kognitif bahawa manusia membuat persepsi tentang dunia. Dialog dan perundingan tentang makna menjadi asas kepada individu untuk berkembang, menguji dan memperhalusi idea mereka. Terdapat dua elemen utama untuk membina pembelajaran berbentuk interaktif dan konteks sosial ( Cunningham et al, 1993 dalam Bolye, 1997:73). Elemen ini memokus kepada tutor, hubungan pelajar dan kumpulan rakan sebaya. Ia melibatkan dua proses iaitu “scaffolding” dan “fading”. Ini bermakna guru merupakan jurulatih dan fasilitator di mana dia akan membimbing pelajar memperolehi kemahiran yang ingin dipelajari dan pengetahuan. Guru akan menjadi sumber pelajar dalam memberi bimbingan , komen dan membuat demontrasi. Setelah itu guru akan mengurangkan bantuannya secara perlahan yang dikenali sebagai proses “fading”. In akan memaksa pelajar menjadi lebih berdikari dalam aplikasi kemahiran dan pengetahuan mereka dan akhir sekali diikuti oleh penyelesaian masalah dalam domain ini.
Modelling yang diimplementasikan dengan menggunakan klips video disertai dengan program animasi amat berguna untuk memberi perwakilan yang konkrit bagi proses yang tidak dapat dilihat. Di sini bimbingan dan “fading” dilanjutkan kepada artikulasi, refleksi dan eksplorasi untuk membolehkan pelajar memperolehi kawalan yang lebih baik kepada proses penyelesaian masalah dan seterusnya menjadikannya lebih eksplisit (Collins et al, 1989 dalam Bolye, 1997:74).
Misalnya dalam sistem SMALLTALKER, pelajar digalakkan mengartikulasikan pengetahuan mereka melalui soalan konseptual yang memerlukan pelajar menyatakan pemahaman mereka. Tetapi keadaan ini tidak dapat memproses jawapan pelajar. Oleh itu ekplorasi pula menggalakkan pelajar lebih menyelesaian masalah secara berdikari. Butang “Explore” dalam sistem ini diberikan untuk membolehkan pelajar mengakses kepada persekitaran program sepenuhnya. . Di sini pelajar boleh mengkonstruk program sendiri dan meninjau sistem ini .
Guzdial et al (1996) telah menggunakan sokongan “scaffolding” menggunakan perisian di mana tugasan pembelajaran dipecahkan kepada aktiviti-aktiviti seperti kolaborasi melalui perbincangan elektronik berkumpulan, menyatakan dan menggambarkan idea dan mengakses sumber penyelesaian masalah.

Dalam pembinaan perisian PPBK juga, komponen antaramuka seperti butang, menu dan ikon yang dalam meningkatkan kompleksiti visual bagi skrin perlu ditekankan. Interaktif merupakan satu kawalan yang menggerakkan pengguna memanupilasikan maklum balas intrinsiknya. Misalnya terdapat opsyen “Bantuan” yang boleh memberikan maklum balas intrinsik. Reflektif membolehkan pelajar belajar mengikut kadar kemampuan masing-masing misalnya melalui pemetaan konsep (Phillips, Rob: 1997:21-31)
Dalam PPBK , aktiviti seperti menulis esei , membentuk simulasi & permainan dan mencipta movie boleh dilaksanakan dengan menggunakan alat perisian Penggunaan kemudahan komunikasi berperantara komputer (CMC) seperti e-mail , Internet “chat Room” , video konferens dan perkongsian fail juga digalakkan.dalam kerja projek dan kajian berkumpulan .

4.2.3 Galakkan autonomi dan pemilihan dalam proses pembelajaran.
Pertikaian tentang pembelajaran berpusatkan pelajar bahawa pelajar dibenarkan memilih masalah yang akan mereka hadapi. Pelajar perlu bertanggungjawab ke atas pengalaman pembelajaran mereka (Cunningham et. al.1993 dalam Bolye, 1997:76). Mereka perlu memperolehi pengalaman untuk menjanakan masalah sendiri. Ini merupakan bahagian utama dalam penyelesaian masalah dalam realiti dunia.

4.2.4: Pengalaman dengan proses pembinaan pengetahuan
Penekanan kepada pembelajaran tulen dan dialog sosial merupakan asas kepada pengalaman dengan proses pembinaan pengetahuan. Ahli konstruktivis mempertikaian bahawa pengalaman dan kemahiran dalam proses membina pengetahuan adalah lebih penting. Ini bermakna mempelajari cara belajar, cara mengkonstruk dan memperhaluskan makna baru adalah lebih penting.

4.2.5. Kesedaran Kendiri dalam proses membina pengetahuan
Ia merupakan gol utama dalam pendekatan konstruktivism yang agak sama dengan idea metakognisi. Penyelesaian masalah melibatkan proses yang memaparkan masalah dan pencarian penyelesaiannya. Metakognisi merupakan proses aras tinggi dalam membuat refleksi ke atas pemikiran sendiri dan proses penyelesaian masalah di mana Cunningham merujuk kebolehan ini sebagai reflektiviti.

Pembinaan perisian PPBK perlu dibangunkan berdasarkan reka bentuk perspektif konstruktivisme di mana pelajar ditafsirkan sebagai individu yang aktif dalam membina pengetahuannya. Ia perlu melibatkan pembentukan dan penyusunan semula pengetahuan pelajar melalui pengalaman dan peristiwa yang berlaku sepanjang masa mereka berinteraksi dengan perisian PPBK. Contoh penyediaan persekitaran yang aktif adalah melalui pendekatan penjelajahan dan penerokaan.

Dalam konteks pembelajaran, format visual dan model mental yang berhubung dengan paparan komponen yang menegaskan kepada kawalan pengguna ke atas kandungan dan strategi pembelajaran akan menjadikan persekitaran pembelajaran multimedia yang kaya dengan maklumat, memberi kawalan pengguna yang berkesan dan mempunyai tahap interaktivit yang tinggi. (Merill, 1983) . Paparan grafik, animasi, audio, video, suara latar, muzik dan lagu iringan yang menarik mewujudkan keseronokan mengikuti perisian PPBK. Paparan teks yang ringkas dan bernas, maklumat yang berbagai, grafik yang berwarna-warni dapat mendorong pelajar terus membuat penjelajahan terhadap setiap ruang di dalam perisian yang dikemukakan dan disamping meningkatkan minat dan motivasi pelajar. Suasana pembelajaran yang seronok dan yang memberangsangkan dalam pengumpulan maklumat dapat meningkatkan tahap ingin tahu, pemahaman terhadap kandungan pakej dan dorongan untuk terus mara ke hadapan dapat dipupuk dan terus dipertingkatkan. Unsur-unsur klip video yang diselitkan dapat membawa imaginasi pelajar dalan dunia realiti dan membantu mengukuhkan lagi pengalaman sedia ada.

Impak kepada pendekatan konstruktivism dikaitkan dengan tiga aktiviti utama iaitu “front end analysis”, pemilihan strategi pengajaran dan sumber, dan penilaian.
Kebolehan menjanakan masalah , terlibat dalam kolaborasi, menghargai perspektif yang pelbagai, menilai dan secara aktif menggunakan pengetahuan menjadi lebih penting. Penggunaan artifaks multimedia dalam PPBK merupakan satu ciri penting dalam pembelajaran konstruktivism. Ia merupakan alat yang digunakan untk perwakilan, komunikasi dan penilaian

Perkins (1991) telah memperkenalkan lima asas paparan persekitaran pembelajaran dan membincangkan impak konstruktivism dalam membuat pilihan ke atas komponen-komponen ini iaitu “information banks”, “symbol pads” “ contruction kits”, “phenomenaria” dan “task managers”. Informasi banks menyimpan maklumat seperti buku teks, buku rujukan dan database komputer. Simbol pads merupakan permukaan bagi pembinaan dan manipulasi simbol . Contohnya: pad tulisan atau satu pemprosesan kata. “Construction Kits” adalah set komponen yang membekalkan bahan mentah untuk aktiviti konstruktif, misalnya Lego Technic atau satu kit asas komputer seperti Logo. Fenomena ria adalah contoh fenomena yang dikaji. “Task manager” menentukan jenis pembelajaran, menyelia dan mengakses hasilnya. Secara tradisional, sistem PPBK dan ITS mempunyai peranan kuat sebagai “task manager” (Bolye, 1997:78). Komputer sebagai “tool” untuk merekod maklumat, membuat analisis dan berkomunikasi dengan kumpulan lain. Misalnya dalam kajian luar, komputer digunakan untuk merekod, menganalisa dan komunikasi tentang interpretasi maklumat.

5. PENUTUP

Akhirkata, konstruktivism merupakan idea bahawa pembelajaran melibatkan pembinaan skima pengetahuan seseorang individu yang dicapai melalui proses keseimbangan ( Reiber,1994). Keseimbangan ini dicapai melalui proses akomodasi dan assimilasi di mana skema pengetahuan baru dibentuk melalui penstrukturan semula skema pengetahuan baru dengan skema pengetahuan sedia ada. Pendekatan ini menggalakkan pembelajaran induktif berdasarkan penemuan yang melibatkan penerokaan isi pelajaran dengan lebih lanjut, menguji idea, membina dan menguji hipotesis.

Konstruktivism merupakan paradigma yang dominan dalam rekabentuk dan pembinaan perisian PPBK di mana ia mempunyai asas yang kuat dalam bidang psikologi pembelajaran dan perkembangan kognitif. Pendekatan ini menekankan penyediaan sumber untuk pelajar membina pengetahuan sendiri. Dalam pendekatan BIG (Beyond the Information Given) pelajar dibekalkan dengan maklumat berarahan untuk pembentukan pengetahuan.

Walau bagaimanapun, untuk merekabentuk dan membina perisian PPBK yang efekrif dan berkualiti, gabungan elemen-elemen pendekatan lain seperti behaviorism, kognitivism dan konstruktivism serta pendekatan lain amat diperlukan dan ini juga bergantung kepada gol, jenis pengguna dan kandungan perisian. Dalam satu persekitaran pendidikan yang lengkap , ia melibatkan penggunaan teknologi bersama komponen lain seperti guru, pelajar, buku dan media lain


RUJUKAN
Alessi, Stephen. M. & Trollip, Stanley, R. 2001. Multimedia for Learning.: Methods and Development. Massachusetts: Allyn and Bacon.
Boyle, Tom. 1997. Design for Multimedia Learning. Great Britian: Prentice Hall.
Bruner, J. 1973. Going Beyond the Information Given. New York: Norton.
Cunningham. D. J. 1991. Assessing constructions and constructing assessments: a dialouge, Educational Technologu, 31, no.5, 13-17.
Nik Azis Nik Pa. 1997. Konsep tentang realiti dan prospek pendidikan di abad ke 21. Jurnal Kebangsaan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Malaysia. 2: 37-52.
Merill, M.D. 1983. Component Display Theory in Regeluth, C (ed). Indtructional design theories and models. New Jersey: Erlbaum Hillsdale.
Mohd Fadzli Ali. 2001. Distance Education: Constructivism and the Internet. Prosiding Konvensyen Teknologi Pendidikan Kali ke 14. hlm. 242-246.
Gagne, R. 1985. The conditions of learning and theory of instruction. Ed ke 4. New York : Holt Pub.
Perkins D.N. 1991. technology meets constructivism: do they marriagel ?. Educational Technology, 31, No.5:18-23.
Phillips, Rob. 1977. Interactive Multimedia: A practical guide for educational applications. USA: Kogan Page.
Pusat Perkembangan Kurikulum. 1991. Pembelajaran secara Konstruktivisme. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Reiber, L.P. (1994). Computer-based Microworlds: A bridge between constructivisme and direct instruction. Educational Technology Research and Development, 40 (1)
Roblyer, M.D. & Edwards, Jack. 1997. Integrating Educational Technology into Teaching. Ohio: Prentice Hall.

Label:

0 Komentar:

Posting Komentar

Berlangganan Posting Komentar [Atom]

<< Beranda